KOTA BHARU - Menguasai hampir keseluruhan perlawanan namun gagal menjaringkan gol, begitulah anggapan ramai sebelum anak buah Datuk M Karathu kembali bangkit pada 10 minit babak terakhir dengan meledakkan empat gol dalam aksi pertemuan menentang Sarawak di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam semalam.
Dua gol daripada Kapten, Muhd Badhri Radzi dan satu gol masing-masing menerusi Norshahrul Idlan Talaha dan pemain gantian, Danial Fadzly Abdullah membutirkan kemenangan bermakna di hadapan hampir 5,000 penyokong The Red Warriors..
Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu gembira betapa skuad kendaliannya berada di landasan tepat untuk mengetuk pintu laluan ke suku akhir.
“Nak kata kita lambat panas boleh jadi, tapi ini memberi kesulitan (menjaringkan gol) kepada kita sendiri. Mengharungi 79 minit perlawanan dengan kesukaran untuk menjaringkan gol namun akhirnya saya gembira dengan kemenangan ini,” katanya sejurus perlawanan berakhir, malam semalam.
Menurutnya, situasi itu tidak boleh berlaku apabila bertemu pasukan yang kuat masa akan datang.
“Dalam bola sepak, kalau kita dapat tiga peluang pada satu-satu masa, kita harus memanfaatkannya dengan menjaringkan satu gol.
“Dalam perlawanan ini, kita mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol. Saya fikir pemain saya mempunyai kemahuan yang kuat untuk mencatatkan selepas kalah kepada KL Felda United FC tempoh hari.
“Mereka banyak menyerang, menguasai perlawanan dengan baik cuma jaringan sahaja tidak hadir pada masanya,” katanya.
Sambil menyifatkan gol pertama pada penghujung perlawanan menjadi detik kebangkitan anak buahnya dalam perlawanan tersebut, Karathu sekali lagi memberi ingatan kepada pemainnya untuk tidak mendabik dada menghadapi baki dua perlawanan selepas ini.
“Inilah bola sepak. Kalau kita bermain cantik dan menguasai perlawanan tetapi tidak berjaya menjaringkan gol pun tiada guna. Anda boleh lihat pemain Sarawak cukup bersemangat mengekang asakan kita ketika kedudukan masih terikat tanpa jaringan dalam perlawanan ini.
“Kemenangan ini tidak melekakan sebaliknya menjadi titik tolak kepada kebangkitan kita. Berapa gol kita jaring itu tidak penting kerana saya hanya mahukan tiga mata dalam perlawanan ini,” katanya.
Ditanya mengenai prestasi turun naik Ketua Pasukannya, Muhd Badhri dalam perlawanan itu, Karathu jelas berpuas hati dengan sumbangan dua gol daripada pemain tersebut.
Sumber : Sinar Harian , Sisipan Kelantan 20 September 2011
1 comment:
wooooo
Post a Comment