Monday, September 12, 2011

KELANTAN PERIT SEBELUM MENANG



KOTA BHARU - Enam mata hasil dua kemenangan ke atas Sarawak dan Johor FC dalam kempen Piala Malaysia memang sudah dijangka peminat Red Warriors.

Namun berdasarkan persembahan menentang Johor FC di Stadium Sultan Muhammad IV kelmarin, penyandang juara Piala Malaysia itu dilihat berdepan laluan sukar mempertahankan kejuaraan.

Dalam perlawanan kelmarin, Red Warriors bernasib baik apabila pemain gantian, Muhammad Ramzul Zahini Adenan menyelamatkan maruah pasukan menerusi jaringan kemenangan pada minit akhir perlawanan.

Sebelum itu, Kelantan dikejutkan dengan jaringan pelawat menerusi Eddy Helmi Abdul Manan pada minit ke-11, sebelum Mohd. Shakir Shaari menjaringkan gol penyamaan tujuh minit kemudian.

Aksi di bawah keupayaan sebenar kelmarin mengundang resah kalangan peminat setia Red Warrios yang mahu pasukan kesayangan mereka mengekalkan momentum cemerlang seperti ketika menjulang kejuaraan Liga Super Julai lalu.

Beberapa bintang Red Warriors seperti Norshahrul Idlan Tahala dan perancang tengah yang juga ketua pasukan Mohd. Badri Razdhi seperti hilang punca kelmarin apabila gagal melakukan sebarang percubaan ke gawang lawan.

Justeru, skuad Datuk M. Karathu harus bangkit apabila berdepan Felda United Rabu ini.

Mengulas aksi pemainnya kelmarin, Karathu tetap berpuas hati walaupun pemain terpaksa berhempas pulas untuk meraih kemenangan.

"Apa yang penting kita berjaya meraih tiga mata penuh. Ia cukup penting untuk mengumpul mata maksimum bagi melayakkan diri ke pusingan seterusnya.

"Saya akui Johor FC adalah pasukan yang baik ketika bertahan sehingga menggagalkan usaha kami untuk menjaringkan lebih banyak gol," katanya.

Sumber : Utiusan Malaysia ( 12-09-2011)


NotaKaki : Memang nalim wey tengok bola semalam.. :)


No comments: