Thursday, November 3, 2011

KAFA TERUSKAN PENCARIAN PEMAIN IMPORT UNTUK MUSIM DEPAN l





KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) meneruskan usaha mencari pemain import bagi membantu pasukan 'The Red Warriors' berdepan cabaran Liga Malaysia dan Piala AFC tahun depan.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata KAFA melepaskan tawaran tiga pemain import iaitu Chikondi Banda (penyerang pasukan bawah 23 Malawi), Jean Black (pemain divisyen dua Belanda) dan Jocip Bonacin (pemain pertahanan Croatia) untuk bersama Kelantan.

"Kita terpaksa menolak tawaran tersebut kerana mereka tidak menepati kriteria yang ditetapkan oleh KAFA," katanya dalam laman web sosial Facebook.

Beliau berkata KAFA berterima kasih kepada ketiga-tiga pemain kerana minat yang ditunjukkan untuk menyarung jersi Kelantan.

Syarat kelayakan yang ditetapkan KAFA ialah pemain mesti berumur tidak lebih 30 tahun, mempunyai ketinggian tidak kurang lima kaki sepuluh inci dan dari negara mempunyai ranking lebih tinggi berbanding Malaysia.

Selain itu, keutamaan diberikan kepada pemain skuad kebangsaan atau pemain muda berumur bawah 21 tahun yang berpotensi untuk kontrak jangka panjang, sanggup menerima tempoh sekurang-kurangnya dua tahun dan mempunyai tahap disiplin tinggi.

KAFA sebelum ini bercadang menggunakan khidmat pemain import sama ada dari Amerika Latin, Afrika atau Asia Tengah bagi memantapkan pasukan Kelantan.

Antara pemain import yang pernah membarisi Kelantan pada era 90-an ialah Worawoot Srimaka (Thailand), Marco Kraljevic (Yugoslavia) dan Dimitri Kalkanov (Bulgaria).



Sumber l  BERNAMA 


No comments: