Gambar Hiasan |
JUARA Liga Super, Kelantan membuat persiapan awal bagi menghadapi kempen Liga M musim depan apabila barisan The Red Warriors mula menjadi latihan semalam.
Bagaimanapun, sesi latihan pertama itu tanpa kelibat beberapa pemain iaitu Khairul Fahmi Che Mat, Mohd. Izuan Solahuddin dan Mohamad Ab. Aziz Ismail yang kini bersama skuad Bawah 23 tahun negara bagi menghadapi Sukan SEA di Indonesia.
Penyerang berbisa, Norshahrul Idlan Talaha pula dikhabarkan menjalani rawatan di Kuala Lumpur.
Pengendali Kelantan, Peter James Butler berkata, meskipun tanpa beberapa tonggak utama, ia tidak menjejaskan sesi latihan tersebut yang turut melibatkan beberapa pemain skuad Piala Presiden.
"Ini merupakan latihan pertama bagi semua pemain. Bagi saya, ia lebih kepada latihan biasa sahaja dan saya tidak mahu mengejutkan pemain dengan corak latihan keras.
"Keadaan cuaca yang tidak menentu di sini (Kota Bharu) mengganggu sedikit latihan kerana padang menjadi becak.
"Begitupun, saya mahu semua pemain berlatih dalam suasana yang santai dan gembira," katanya semalam.
Tambah Butler, beliau tidak terlalu menekankan soal kecergasan memandangkan pemain-pemainnya berehat terlalu lama.
Sesi latihan tersebut turut disertai empat pemain import iaitu Emmanuel Okine dan Denny Antwi dari Ghana, Chikondi Mpulula (Malawi) dan Jean Black (Belanda).
Difahamkan, Mpulula dan Black telah diarahkan untuk berkemas pulang setelah didapati tidak memenuhi kriteria ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).
Sumber l Kosmo l 03 November 2011.
No comments:
Post a Comment