Sunday, November 6, 2011

KELANTAN PERKENALKAN TUJUH PEMAIN TEMPATAN l SEORANG PEMAIN IMPORT 18 NOVEMBER INI



KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Kelantan dijangka memperkenalkan lima pemain baru serta dua pemain import untuk saingan Liga Super musim depan ketika mengadakan perlawanan persahabatan menentang Maldives di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 18 Nov ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa berkata pemain import berkenaan merupakan pemain import terbaru yang akan diuji oleh skuad Kijang di bawah jurulatih baru Peter James Butler yang dilantik semula menerajui pasukan tersebut pada 23 Okt lepas.

"Pemain utama 'The Red Warriors' seperti Mohd Badri Mohd Radzi (Piya), Norshahrul Idlan Talaha (Mat Yo), Mohd Shakir Shaari, Mohd Daudsu Jamaluddin, S. Subramaniam, Mohd Khairul Fahmi Che Mat (Apek) akan bermain pada perlawanan itu nanti," katanya dalam laman sosial Facebooknya.

KAFA sebelum ini pernah menguji tiga pemain import iaitu Chikondi Banda (penyerang pasukan bawah 23 Malawi), Jean Black (pemain divisyen dua Belanda) dan Jocip Bonacin (pemain pertahanan Croatia) namun ditolak KAFA kerana tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Syarat kelayakan yang ditetapkan KAFA ialah pemain mesti berumur tidak lebih 30 tahun, mempunyai ketinggian tidak kurang 178 sm dan dari negara mempunyai ranking lebih tinggi berbanding Malaysia.

Selain itu, keutamaan diberikan kepada pemain skuad kebangsaan atau pemain muda berumur bawah 21 tahun yang berpotensi untuk kontrak jangka panjang, sanggup menerima tempoh sekurang-kurangnya dua tahun dan mempunyai tahap disiplin tinggi.

Antara nama-nama yang disebut bakal mengisi kekosongan dalam pasukan tersebut ialah tiga bekas pemain mereka yang bermain dengan T-Team pada musim lepas iaitu Indra Putra Mahayuddin, Mohd Norfarhan Muhammad dan Azizie Mat Rose.

Annuar turut menyeru supaya peminat skuad Kijang yang tinggal di sekitar Lembah Klang untuk memberikan sokongan kepada pasukan tersebut pada perlawanan persahabatan itu nanti.

Tiket perlawanan persahabatan itu dijual dengan harga RM10.

BERNAMA



No comments: