Thursday, November 24, 2011

SAFIQ RAHIM ANGGAP PERMIT KERJA BUKAN HALANGAN KE CARDIFF CITY

Pic google


SEPANG, 23 Nov (Bernama) -- Kapten skuad bola sepak kebangsaan, Safiq Rahim menganggap masalah permit kerja di United Kingdom bukan peluntur semangatnya untuk beraksi cemerlang pada ujian percubaan bersama kelab Cardiff City bermula Isnin depan.

Safiq yang memasang impian untuk beraksi di liga Inggeris berkata masalah teknikal seperti itu bukan penghalang utama malah beliau menyahut cabaran untuk menjadi pemain bola sepak Malaysia pertama menyarung jersi kelab Inggeris itu.

"Sekiranya saya terpilih, segala masalah teknikal termasuk permit kerja akan diserahkan kepada pihak pengurusan yang lebih arif cuma yang penting, saya harus bermain dengan bersungguh-sungguh," katanya kepada media sebelum berlepas ke Cardiff City, rabu malam.

Sebelum ini, penyerang skuad negara Safee Sali turut menjalani ujian kelayakan di kelab yang sama namun hajatnya belum kesampaian kerana permit untuk bermain di United Kingdom hanya dikeluarkan bagi negara di ranking 70 terbaik dunia.

Safiq, 24, yang merupakan kapten pasukan Malaysia ketika menentang Arsenal dan Liverpool berkata ujian percubaan itu pastinya menjadi pengalaman paling berharga baginya dan segala skil yang akan dipelajari digunakan ketika bermain untuk skuad kebangsaan.

"Semasa ujian percubaan nanti, saya akan bermain dengan barisan utama kelab itu dan berharap saya dapat menyesuaikan diri dengan tempo permainan mereka dan perubahan cuaca," katanya.

Mengulas mengenai kejayaan skuad bola sepak bawah 23 tahun yang mendapat pingat emas di Sukan SEA 2011 di Indonesia pada Isnin lepas, Safiq menganggap kemenangan mereka sudah dijangka kerana terdapat pemain yang pernah beraksi pada temasya dwi-tahunan tersebut di Laos pada 2009 yang turut meraih emas.

Safiq yang berlepas ke Cardiff City menaiki pesawat Qatar Airways akan menjalani ujian percubaan selama tiga minggu di kelab berkenaan dan akan pulang ke tanah air pada 17 atau 18 Dis depan.

-- BERNAMA

Sumber l BERNAMA

No comments: