Apek yang sedang mengikuti Latihan di Slovakia bersama pasukan Olimpik negara. |
PERMULAAN perjuangan Red Warriors dalam kempen Piala Malaysia 2011 diiringi doa penjaga gol utama Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat yang tidak dapat bersama ketika menentang Sarawak di Stadium Negeri, Kuching, malam ini.
Bagi Khairul Fahmi, walaupun khidmatnya diperlukan pasukan kebangsaan, namun semangat ‘Gomo Kelate Gomo’ tidak pernah luntur dalam dirinya dan tetap mendoakan Kelantan berjaya menewaskan Sarawak.
Katanya, dia yakin dengan kemampuan penjaga gol kedua Kelantan, Mohd Shahrizan Ismail yang mampu membantu pasukan untuk mempertahankan gawang daripada dibolosi lawan.
“Saya tetap mendoakan kejayaan Kelantan walaupun khidmat saya tertumpu kepada Skuad Olimpik malah kemenangan Kelantan dalam perlawanan pertama penting untuk mengharungi perlawanan seterusnya.
“Saya percaya kepadanya (Mohd Shahrizan) malah dia lebih berpengalaman dan saya tidak meragui kehebatannya ketika beraksi,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Sementara itu, Mohd Shahrizan atau terkenal dengan panggilan Mat Chah mengakui tetap merasai bahang tekanan apabila menjadi harapan penyokong Red Warriors selepas Khairul Fahmi tidak dapat beraksi.
Bagaimanapun, katanya tekanan itu mampu diatasi dan bersedia memikul tanggungjawab diberikan.
“Tekanan tidak dapat dielakkan, namun dengan pengalaman yang ada, saya cuba tenang dan fokus selain mahu memberikan yang terbaik untuk pasukan. “Saya perlu jalankan tugas sebaiknya selepas diberi kepercayaan. Apapun saya tetap berwaspada ketika menentang Sarawak malam esok (malam ini) kerana ia perlawanan pertama kami,” katanya.
Sumber : Harian Metro 06 September 2011 : LINK
NotaKaki : Bukan Khairul Fahmi sahaja yang mendoakan kejayaan Kelantan pada malam ini tetapi seluruh rakyat Kelantan sedang mendoakan kejayaan pasukan kesayangan kami , TRW.Tiada yang lebih manis selain doa dan harapan dari kami untuk kesemua wira merah kami.
No comments:
Post a Comment