Friday, September 9, 2011

KAFA JAMIN TIKET CUKUP



Kredit to MD ERYSTUDIO untuk grafik ini.TERBAIK !!!


KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) memperuntukkan sebanyak 17,000 tiket dijual bagi perlawanan kedua peringkat kumpulan Piala Malaysia, pertemuan Kelantan menentang Johor FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam esok.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Othman Zakaria berkata, tiket-tiket bagi menyaksikan perlawanan tersebut akan mula dijual di kaunter tiket perkarangan stadium bermula 10 pagi esok.

“Perlawanan menentang pasukan berstatus kelab itu sememangnya ditunggu-tunggu oleh peminat setia bola sepak Kelantan kerana ini merupakan perlawanan pertama peringkat kumpulan yang akan berlangsung di Kota Bharu,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa keselamatan, semalam.

Menurutnya, Kafa menjangkakan stadium keramat itu akan kembali penuh seperti kebiasaannya.

“Kehangatan ini sudah pasti memuncak setelah kita berjaya mengalahkan Sarawak 2-0 pada perlawanan pembuka tirai di Kuching tempoh hari.

“Namun di sebalik keghairahan penyokong setia menyaksikan perlawanan ini, saya mengingatkan kepada semua penyokong untuk mematuhi peraturan-peraturan keselamatan bagi mengelakkan berlakunya kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Othman berkata, sebagai langkah keselamatan pihaknya akan mengadakan pemeriksaan yang ketat di pintu masuk stadium bagi memastikan barang terlarang seperti mercun dan botol minuman tidak dibawa masuk.

“Kita tidak akan berkompromi mengenai perkara ini. Kafa sudah dikenakan denda yang tinggi angkara tindakan liar segelintir penyokong dalam perlawanan akhir Piala FA tidak lama dulu dan kita tidak mahu dikenakan hukuman sekali lagi.

“Saya berharap semua penyokong mengambil iktibar daripada kejadian tersebut. Dan saya percaya semua penyokong yang datang ke stadium mahu menyaksikan perlawanan bola sepak dengan aman tanpa gangguan lain seperti membakar mercun dan sebagainya.

“Kita memberi jaminan jumlah tiket yang akan dijual mencukupi. Jadi, para penyokong boleh membeli tiket terus di kaunter tiket. Jangan membeli tiket daripada ulat-ulat tiket yang cuba mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan atas angin,” katanya.

Pihak Kafa telah menetapkan harga tiket bagi perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia musim ini ialah RM25 bagi tempat duduk astaka utama, tempat duduk astaka dua (RM15), tempat duduk terbuka (RM12) dan kanak-kanak RM5.

SUMBER : SISIPAN SINAR HARIAN, JUMAAT 09-09-2011


NotaKaki : Ha, memang ler pihak KAFA cakap cukup tapi ada je Kaki Lipak.com ini iaitu ULAT TIKET yang masih berleluasa.Sudah la mengenakan bayaran yang mahal tetapi terang terang dok jual depan stadium tu.Tak der tindakan pun..???zzzzzz!!!!




No comments: