Friday, September 9, 2011

ALEX TEKAD BANTU WORRIORS



PENYERANG pinjaman Kelantan, Azzamuddin Mohd. Akil bertekad membantu The Red Warriors meraih kemenangan kedua pada aksi menentang Johor FC di Stadium Sultan Muhammed IV malam esok.

Biarpun mengalami kecederaan pada bahagian kaki kiri setelah dibentes oleh pemain Sarawak dalam aksi pembukaan Selasa lalu, anak jati Kampung Relong, Kuala Lipis, Pahang itu berharap kecederaan yang dialaminya dapat pulih sepenuhnya bagi membolehkan dia beraksi dalam perlawanan itu.

“Hari ini (semalam) saya tidak menjalani latihan bersama rakan-rakan dan mendapatkan rawatan daripada ahli fisioterapi pasukan.

“Insya-Allah, saya harap dapat pulih sepenuhnya agar boleh diturunkan dalam perlawanan malam esok,” katanya yang mesra dipanggil ‘Alex’ kepada Kosmo! semalam.

Tambahnya, kecederaan yang dialaminya itu tidak mengganggu tumpuannya dalam menghadapi Johor FC nanti.

Alex memberitahu, dia menjangkakan pertemuan dengan Johor FC ini pasti sengit.

“Saya yakin mereka akan turun bermati-matian dan tidak mahu kalah. Begitupun saya percaya kita juga tidak mahu terlepas tiga mata lebih-lebih lagi kita mempunyai kelebihan beraksi di tempat sendiri," ujarnya.

Ditanya mengenai tekanan yang bakal beliau hadapi apatah lagi perlawanan malam esok merupakan yang pertama bagi beliau dalam kempen Piala Malaysia di gelanggang sendiri, Azammuddin jelas tidak mahu memikirkan sangat mengenai perkara tersebut.

“Tekanan tetap ada dan itu perkara biasa bagi saya. Saya sudah bersedia untuk beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong setia Kelantan, malah saya sudah tidak sabar untuk membuktikan sesuatu kepada penyokong di sini.

“Sekiranya diturunkan, saya berjanji akan berikan yang terbaik. Saya cukup bersemangat untuk menjaringkan gol dalam perlawanan malam esok. Insya-allah dengan bantuan rakan yang lain, saya mampu merealisasikan impian tersebut,” katanya.

Sementara itu, perkhabaran gembira di kem Kelantan apabila seorang lagi pemain pinjaman dari Pahang, R. Surendran sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan buku lali dan sudah pun turun menjalani latihan bersama rakan sepasukan yang lain.

Sumber : Kosmo Online  , [ 09-09-2011]



No comments: