Friday, September 30, 2011

KARATHU MULA PENING KEPALA




KOTA BHARU – Kemenangan bergaya mengatasi KL Felda United FC 2-0 malam semalam bukan sahaja menggembirakan Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu malah membuatkan pengendali berusia 68 tahun itu mula pening kepala dalam memilih barisan pemain terbaik selepas ini.

Apa tidaknya, aksi lima pemain simpanan yang diturunkan dalam perlawanan malam semalam, terdiri daripada Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, Danial Fadzly Abdullah, Mohd Izuan Salahuddin, Mohamad Ab Aziz Ismail dan Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim begitu meyakinkan sepanjang perlawanan tersebut.

“Malam ini saya menurunkan pemain Piala Presiden, Nik Mohd Shahrul Azim (Ab Halim) buat pertama kali dan dia mampu beraksi dengan baik sepanjang 90 minit perlawanan. Memang dia nampak gugup dan melakukan beberapa kesilapan kerana ini merupakan satu perlawanan yang besar namun saya berpuas hati dengan persembahan dia.

“Begitu juga Khairan Eruan (Razali) dan Mohamad Ab Aziz (Ismail) yang beraksi cemerlang. Semua pemain simpanan main dengan bagus dan saya rasa ini menjadi masalah kepada saya untuk memilih pemain selepas ini. Tapi ini sebenarnya bagus untuk perkembangan pasukan,” katanya.

Mengulas mengenai kemenangan 2-0 ke atas KL Felda United FC itu, Karathu mengakui barisan pemainnya berhadapan kesukaran untuk menjaringkan gol dan terpaksa menunggu lebih sejam sebelum

“Ini merupakan perlawanan sukar bagi kita. KL Felda United FC bermain secara bertahan dengan baik, namun kita berjaya bangkit pada babak kedua dengan menjaringkan dua gol. Bukan senang untuk menjaringkan gol kalau ada lapan atau sembilan pemain berkampung di depan pintu gol mereka.

“Mereka hanya mengharapkan menang dalam penguasaan bola dan melakukan serangan balas pantas dan kita terpaksa berhati-hati daripada terjerat dengan situasi tersebut. Sebab itu kita mendapat gol lewat dalam perlawanan ini. Ditanya mengenai persiapan bagi menghadapi saingan suku akhir menentang Terengganu selepas ini, Karathu memberi cuti rehat selama dua hari kepada pemainnya sebelum menyambung latihan pada Jumaat ini.

“Tidak ada masalah kita lawan Terengganu atau Negeri Sembilan. Kita dah bersedia menghadapi mana-mana pasukan. Cuma masalahnya, kita terpaksa melepaskan tiga pemain ke skuad kebangsaan bagi bertemu menghadapi Australia dalam perlawanan persahabatan sementara dua pemain lagi terlibat dalam latihan bagi menghadapi Kejohanan Jemputan Antarabangsa Piala VFF di Hanoi, Vietnam pada 17 hingga 24 Oktober ini.

“Sukar bagi pemain kita untuk mencari keserasian apabila tidak menjalani latihan bersama pasukan. Ianya menjejaskan persiapan pasukan kita namun apa boleh buat, kita tidak ada pilihan,” katanya.


Sumber : Sinar Harian Sisipan Kelantan
Tarikh : 30 September 2011
LINK : KLIK


No comments: