Friday, September 30, 2011

KELANTAN SUSUN STRATEGI HADAPI TERENGGANU




Kelantan susun strategi hadapi Terengganu


KOTA BHARU - Juara Kumpulan C, Kelantan melakukan persediaan awal untuk menghadapi Terengganu pada aksi suku akhir pertama saingan Piala Malaysia pada 10 Oktober ini.

Skuad Red Warriors mengesahkan juara kumpulan apabila mengalahkan pasukan berstatus kelab, Felda United 2-0 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan di Stadium Sultan Mohammed IV, Kota Bharu, kelmarin.

Jurulatih Kelantan, Datik M. Karathu berkata, dia akan membuat persiapan rapi bagi menghadapi perlawanan suku akhir pertama menentang Terengganu.

"Pemain diberikan cuti dua hari selepas tamat perlawanan peringkat kumpulan.

"Pemain akan kembali menjalani latihan seperti biasa pada Jumaat.

"Ketiadaan beberapa pemain tonggak yang menjalani latihan bersama skuad kebangsaan memang agak menjejaskan persiapan pasukan.

"Namun itu tidak boleh dijadikan alasan sebaliknya kami perlu bersedia untuk pertemuan suku akhir nanti," katanya.

Pada aksi terakhir peringkat kumpulan kelmarin, Red Warriors yang sudah layak ke suku akhir merehatkan beberapa pemain tonggak.

Kelantan diberi tentangan pada awal perlawanan sebelum berjaya menghasilkan gol pertama menerusi penyerang sensasi Noshahrul Idlan Tahala pada minit ke 62.

Norshahrul terus menceriakan penyokong tuan rumah apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-71.

Karathu berkata, dia merehatkan beberapa pemain tonggak pada perlawanan tersebut sebagai persediaan untuk perlawanan suku akhir.

"Saya berpuas hati dengan aksi pemain dari skuad Piala Presiden iaitu Nik Mohd. Shahrul Azim dan beberapa lagi yang sebelum ini berada di bangku simpanan.

"Walaupun masih muda, dia (Mohd. Shahrul Azim) menunjukkan mutu permainan yang baik.

"Saya harap pengalaman yang diraih dalam perlawanan ini dapat digunakan sebaik mungkin untuk perlawanan akan datang," katanya.


Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 30 September 2011
LINK : KLIK




No comments: