KOTA BHARU – Hanya satu mata diperlukan untuk mengesahkan tempat ke suku akhir, namun itu bukan matlamat sebenar kunjungan juara bertahan, Kelantan bagi menghadapi Johor FC dalam perlawanan peringkat kumpulan C Piala Malaysia di Stadium JCorp, Pasir Gudang, malam esok.
Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu sebaliknya awal-awal lagi menegaskan fokusnya hanya terarah untuk meraih tiga mata penuh, bukan sahaja untuk mengukuhkan kedudukan dalam saingan peringkat kumpulan, malah mahu melebarkan rekod tanpa kalah ke atas pasukan berstatus kelab itu.
“Saya tahu ini merupakan misi hidup mati bagi Johor FC, namun kita juga tidak mahu kehilangan mata. Satu mata mungkin sudah memadai namun saya mahu lebih daripada itu (tiga mata).
“Kita tidak boleh cari bala (kalah kepada Johor FC) apatah lagi perlawanan ini cukup penting kepada kedua-dua pasukan.
“Kita akan turun beraksi seperti biasa sama seperti ketika bertemu KL Felda United FC dan Sarawak tempoh hari. Saya cukup gembira kalau pemain saya mempamerkan aksi semangat juang seperti dalam perlawanan itu.
“Formaliti saya seperti biasa, kita main secara menyerang di samping memperkemaskan benteng pertahanan, jangan hilang bola serta tidak membenarkan mereka mendapatkan gol awal. Saya fikir kalau empat elemen itu diterapkan kita tidak menghadapi masalah mengatasi mereka malam esok (ini),” katanya.
Mengimpikan aksi cemerlang tatkala prestasi pemainnya kini sudah kembali memuncak, Karathu turut melaungkan keyakinan dengan barisan pemain yang ada disusuli dengan kehadiran dua pemain skuad Olimpik kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat dan Mohd Izuan Salahuddin, skuad The Red Warriors bakal menyajikan perwatakan sang juara dalam perlawanan malam ini.
“Apex (Khairul Fahmi Che Mat) dan Mohd Izuan (Salahuddin) akan menyertai kita esok (hari ini). Mereka sudah lama tidak bersama kita, namun itu bukan masalah besar.
“Saya fikir tidak ada masalah untuk saya menyenaraikan Apex sebagai penjaga gol malam ini, sementara itu saya juga akan pantau juga Mohd Izuan. Kita tengoklah nanti macam mana.
“Saya yakin kita boleh mengatasi Johor FC malam ini. Saya tidak mahu fikir fasal pasukan lain. Saya cukup tidak suka kalau kita terpaksa tunggu sehingga perlawanan terakhir (menentang KL Felda United FC pada 27 September).
“Selepas kita kalah 0-2 kepada KL Felda United FC saya lihat sudah ada suatu semangat baru meresap dalam pemain. Mereka sudah melupakannya dan saya harap cuaca yang baik malam ini membantu,” katanya.
1 comment:
Hok mano duk area Johor Bahru tuh,mari la pakat tgk bola mlm ni biar bertambah semangat sek2 klate.....GKG!
Post a Comment