Thursday, September 15, 2011

MAS DIMINTA BANTU BOLA SEPAK NEGARA



BEKAS Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berharap Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia memainkan peranan lebih aktif dalam pembangunan bola sepak tempatan. 

Beliau berkata, sepanjang pembabitannya bersama FAM sejak lebih sedekad lalu, MAS pernah membuat tajaan, namun dalam skala kecil di dalam pertandingan yang dianjurkan badan induk bola sepak negara itu. 

“Kita mahu MAS memberi peluang yang sama, mungkin menaja pasukan bola sepak tempatan tertentu atau sekurang-kurangnya menubuhkan akademi bola sepaknya sendiri,” katanya. 

Beliau berkata demikian, ketika mengulas pengumuman mengenai penglibatan dua syarikat penerbangan negara itu yang menaja jersi kelab bola sepak Queens Park Rangers (QPR) dalam Liga Perdana Inggeris (EPL). 

Raja Ahmad berkata, sebenarnya langkah yang dibuat MAS itu mengejutkan banyak pihak kerana selaku penaja jersi pasukan yang bertanding dalam BPL memerlukan perbelanjaan yang besar. 

Rakyat akan mempersoalkan kewajaran pelaburan itu kerana MAS sebelum ini kurang memberi perhatian kepada tajaan terhadap pembangunan bola sepak tempatan, katanya. 

“Kita tidak mahu kelak ramai mempertikaikan penajaan MAS bahkan kita juga tidak mahu peminat tempatan mempersoalkan mengapa mereka melabur di EPL, sedangkan di sini (Malaysia) GLC itu tidak berbuat apa-apa,” katanya. 

Bagaimanapun, keputusan MAS dan AirAsia membuat tajaan berkenaan tidak boleh dipertikaikan kerana ia sesuatu yang menguntungkan penjenamaan serta mengukuhkan kedudukan perkhidmatan mereka. 

“Tajaan itu secara tidak langsung mampu melonjakkan jenama dua syarikat penerbangan negara di peringkat global, tetapi MAS sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu mula memainkan peranan dengan lebih aktif dalam pembangunan bola sepak tempatan”. – Bernama.


Sumber : Sinar Harian 15 September 2011

NotaKaki : Walaupun sedar bahawa pelaburan mereka melabur di EPL mempunyai keuntungan tetapi seharusnya mengutamakan yang berhak iaitu Malaysia.Tidak salah melabur untuk pihak luar dan ianya diakui sebagai langkah untuk mengukuhkan kedudukan dan penjenamaan mereka tetapi biarlah adil.Bila lagi syarikat gergasi ingin melabur dalam pembangunan bola sepak tempatan.Sama-sama menaikkan mutu bola sepak negara.Jika diperhatikan bola sepak negara sekarang semakin berkembang bukan sahaja di rantau Asia tetapi jugak di Eropah.Jadi tidak salah sekiranya syarikat tempatan sendiri melabur sedikit untuk sama sama menaikkan nama bola sepak Malaysia.Tapi satu je jika terdapat pelaburan dari pihak ini janganlah pulak ' orang dalam ' panjang dalam.< panjang2 jela .


No comments: