Saturday, September 17, 2011

PENGGEMPUR KELANTAN PERLU LEBIH KONSISTEN




KELANTAN mempunyai masa kurang daripada 48 jam untuk memantapkan lagi jentera penggempur dan pertahanan mereka sebelum turun menentang Sarawak di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam esok.

Selepas mengharungi tiga perlawanan, jentera hadapan skuad The Red Warriors hanya berjaya menghasilkan empat gol biarpun banyak peluang terbaik terhidang dalam setiap perlawanan.

Sebagai penyandang juara, Kelantan pastinya berdepan tekanan yang cukup tinggi, apa lagi mereka kini berada di tangga kedua Kumpulan D dengan mengumpul enam mata selepas tewas mengejut kepada Felda United, Rabu lalu.

AZWAN ROYA (tengah) antara watak penting dalam 
merencanakan rentak serangan Kelantan.
Biarpun terpaksa akur dengan kehe- batan Felda United yang berjaya menumpaskan mereka 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, skuad The Red Warriors itu dilihat menunjuk- kan peningkatan dalam permainan yang dipamerkan.

Berdasarkan statistik, Kelantan sekurang-kurangnya memiliki 10 percubaan tepat dan enam percubaan yang tersasar ketika menentang Felda United, namun masalah ketajaman penyudah menyebabkan mereka gagal menghasilkan sebarang gol.

Norshahrul Idlan Talaha yang baru pulih daripada kecederaan ketika bersama skuad kebangsaan harus segera mencari rentak untuk membuktikan dia adalah seorang penyerang yang cukup disegani.

Penyerang pinjaman, Azamuddin Akil juga dilihat masih belum menemui sentuhan apabila gagal menyumbang sebarang gol dalam tiga perlawanan selain harus bekerja lebih keras mencari keserasian bersama Norshahrul.

Dia yang diletakkan sebagai penyerang kedua selepas Norshahrul, perlu bijak meletakkan diri di posisi terbaik serta mencari ruang bagi menyudahkan peluang melalui gerakan barisan tengah Kelantan.

Dalam pada itu, 'jeneral padang' Kelantan, Badri Radzi yang bergandingan bersama Shakir Shaari juga perlu lebih kreatif merencanakan gerakan untuk membuka peluang kepada rakan dalam menghasilkan gol.

Perlawanan menentang Felda United tempoh hari membuktikan kedua- dua pemain ini perlu bekerja lebih keras mencari 'idea-idea' segar dalam mencipta gerakan kerana pemain lawan dilihat sudah mampu membaca permainan mereka berdua.

Dalam pada itu, antara kekuatan yang ada pada pasukan Kelantan yang tidak boleh dinafikan oleh pasukan lawan adalah kepantasan kedua-dua pemain sayap mereka.

Kelebihan yang ada pada Nurul Azwan Roya dan S. Chanturu perlu dimanfaatkan oleh Datuk M. Karathu mencorak serangan dan membantu Badri dan Shakir, selain kedua-duanya juga mempunyai keupayaan untuk menghasilkan gol.

Apa yang lebih penting, barisan pertahanan Kelantan perlu lebih konsisten, terutamanya pertahanan kental S. Subramanian yang perlu lebih vokal mengkoordinasikan rakan-rakan lain bagi membentuk benteng yang lebih kukuh.

Bagi Shahrizan, peluang yang diberikan oleh pihak pengurusan selepas ketiadaan Khairul Fahmi Che Mat perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk membuktikan dia masih seorang penjaga gol yang terbaik pernah dimiliki Kelantan.

Bertemu Sarawak malam esok adalah peluang terbaik buat Kelantan membuktikan mereka masih belum bersedia melepaskan Piala Malaysia yang dimenanginya musim lalu.



sumber :kosmo

1 comment:

Sara Ali said...

bola...bola...dan bola....

=)