Shakir dan isteri,Nurul Fatiha bersama anaknya. |
KOTA BHARU – Kempen Piala Malaysia kali ini begitu bermakna bagi perancang tengah skuad The Red Warriors, Mohd Shakir Shaari apabila menerima ‘orang baru’ dalam keluarganya tiga hari lalu.
Kira-kira lapan jam sebelum sepak mula pertemuan Kelantan menentang Johor FC pada Sabtu lalu, Mohd Shakir sah bergelar menjadi bapa apabila isterinya, Nurul Fatiha Abdul Hamid selamat melahirkan bayi lelaki.
Bayi lelaki yang belum dinamakan dan seberat 2.7 kilogram itu dilahirkan secara normal isteri beliau tepat jam 1.03 petang di Pusat Perubatan Kota Bharu (KBMC), Lundang, dekat sini.
Bergelar bapa pada usia 25 tahun, Mohd Shakir yang kini memikul tugasan bersama skuad The Red Warriors dalam kempen Piala Malaysia ketika ini tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira atas kehadiran ‘orang baru’ itu.
“Alhamdulillah kerana isteri saya dapat melahirkan secara normal dan tanpa sebarang masalah. Mulanya dijangka bersalin 14 September ini, tapi tak sangka pula awal empat hari,” katanya kepada :Sinar Harian, :semalam.
“Rasa tak percaya pun ada ketika ini apabila sudah bergelar bapa. Kehadiran cahaya mata ini melengkapkan kehidupan kami. Malah kehadiran orang baru ini sudah pasti menjadikan kehidupan saya lebih bermakna selepas ini.
“Walaupun sesibuk mana sekalipun tugasan bersama skuad Kelantan, namun tumpuan kepada keluarga terutamanya dengan kehadiran cahaya mata ini tetap saya utamakan. Kehadiran cahaya mata ini bererti tanggungjawab lebih perlu saya pikul selepas ini,” katanya secara berseloroh.
Mula mendirikan rumah tangga 9 Disember tahun lalu, Mohd Shakir berkata, keputusan isterinya untuk bersalin di Kota Bharu dibuat atas kehendaknya sendiri yang mahukan beliau berada di sisinya ketika meraikan detik menyambut kelahiran cahaya mata baru itu.
“Memandangkan sebelum ini kami terpaksa berjauhan, maka isteri saya memutuskan untuk bersalin di sini supaya saya ada di sisi dia. Buat masa sekarang isteri saya akan berpantang di sini (Kota Bharu) sebelum kembali ke rumah keluarganya di Puchong.
“Insya-Allah, saya sudah berbincang dengan isteri akan membahagikan masa dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Sumber : FACEBOOK KELANTAN FA
NotaKaki : Diharap selapas ini prestasi Shakir lebih maju dan berusaha lebih gigih lagi.
No comments:
Post a Comment