Friday, October 7, 2011

PERLAWANAN PERSAHABATAN l KELANTAN PASANG STRATEGI




Karathu pasang strategi

KOTA BHARU - Perlawanan persahabatan Kelantan menentang Songkhla FC malam ini, bukan sahaja memberi peluang kepada Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu untuk merencana strategi bagi menghadapi Terengganu dalam suku akhir pertama 10 Oktober ini, tetapi juga bakal menampilkan dua penjaring terbanyak bagi kedua-dua pasukan.

Penyerang kebangsaan Bawah 23 tahun Malawi, Chikondi Mpulula yang muncul penjaring terbanyak saingan liga di negaranya akan beraksi untuk Kelantan sementara Songkhla FC bakal menampilkan pemain berbisanya, Santos Chayenne dari Brazil yang meledakkan 13 gol untuk pasukannya.

Mpulula, 18 tahun yang baru tiba di Kota Bharu malam tadi tidak mempunyai masa untuk berehat terlalu lama sebaliknya dikerah mengetuai jentera serangan The Red Warrior malam ini setelah ketiadaan penyerang sensasi, Norshahrul Idlan Talaha kerana mempunyai tugasan bersama skuad kebangsaan menentang Australia di Canberra. 

Pemain Import : Chikondi
Malah tugas merobek gawang gol Songkhla FC juga turut dipikul seorang pemain berasal dari Ghana, Denny Antwi, 19, yang mempunyai susuk tubuh sederhana tetapi dikhabarkan mempunyai sentuhan penyudah yang tajam di depan pintu gol. 

Josip Bonacin dari Croatia dan Emmanuel Okine dari Ghana pula mengemudi benteng pertahanan Kelantan setelah ketiadaan tonggak pertahanan, Mohd Farisham Ismail yang turut menyertai Khairul Fahmi Che Mat dan Norshahrul Idlan ke Australia. 

Tambah menarik lagi, kelab Songkhla FC yang dibimbing bekas pemain kebangsaan Thailand, Worrawoot T Srimaka juga bakal menampilkan enam orang pemain import iaitu Maeda Ryohei (Jepun), Kwawdo Boabah (Ghana), Sani Saidu (Nigeria) selain tiga pemain dari Korea Selatan iaitu Kim Seung-Myung, Chang Seung-Weon dan Lee Hwa Seob. 

Sementara itu, Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu ketika diminta mengulas mengenai perlawanan persahabatan itu menyifatkan, pertemuan menentang Songkhla FC menjadi medan terbaik beliau merencana strategi berkesan bagi menghadapi Terengganu Isnin depan. 

“Ini satu perlawanan persahabatan yang menarik bagi kedua-dua pasukan. Kita ada empat pemain import dan mereka pula ada tujuh pemain import. Ini peluang untuk kita menguji empat pemain import yang menyertai pasukan kita sekarang.

“Pada masa sama, saya berpeluang menguji pemain simpanan kita sebagai persediaan menghadapi Terengganu nanti. Tanpa tonggak utama sekali pun, saya masih percaya kepada barisan pemain yang ada,” katanya kepada Sinar Harian.


SUmber : Sinar Harian , 07-10-2011
Pic : Kredit utk TRW KLIA


No comments: