LIMA kad merah dan lebih 10 kad kuning yang dilayangkan dalam tempoh
90 minit pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2011 antara
Terengganu dan Kelantan kelmarin sudah cukup membuktikan betapa mutu
pengadilan bola sepak di negara ini berada pada tahap memalukan.
Sambil menyifatkan tindakan itu sebagai tidak profesional, para
penyokong turut menyelar sikap terlalu emosi pengadil perlawanan, Mohd.
Nafeez Abd. Wahab yang sewenang-wenangnya melayangkan kad kuning kepada
para pemain.
Setiausaha Kelab Penyokong Bola Sepak Terengganu (Peteh), Wan Mohd.
Azmi Wan Ngah berkata, pengadil sepatutnya mengawal permainan dengan
tenang dan bukannya mencari kesalahan para pemain untuk dilayangkan kad
kuning.
“Layangan lima kad merah dalam satu perlawanan memang tidak pernah
berlaku dalam sejarah bola sepak negara dan ia cukup-cukup memalukan.
“Tindakan pengadil bukan sahaja membuatkan para pemain jadi tertekan,
malah dianggap sebagai provokasi secara senyap kepada para penyokong
kedua-dua pasukan,” jelasnya kepada Kosmo!.
Pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala
Terengganu itu, Terengganu berjaya mendapat bekalan selesa menjelang
aksi suku akhir kedua apabila menang 3-1.
Namun, perlawanan yang dianggap ‘Pertembungan Pantai Timur’ itu
dicemari dengan layangan lima kad merah masing-masing dua kepada pemain
Terengganu (Ismail Faruqi dan Zubir Azmi) sementara tiga kepada pemain
Kelantan iaitu Daudsu Jamaludin, Mohd. Aziz Ismail dan Mohd. Shakir
Shaari.
Jelas Wan Mohd. Azmi lagi, sudah tiba masanya Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM) meneliti sistem pengadilan bola sepak di negara ini yang
dianggap kerap menimbulkan kontroversi.
“Kita lihat pengadil seolah-olah mempunyai 'kuasa kebal' untuk
menghukum pemain, sedangkan mana-mana jurulatih yang mengkritik sistem
pengadilan akan menerima hukuman.
“Jadi, FAM perlu bersikap lebih adil dengan mendengar suara kedua-dua pihak sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya.
Presiden Terengganu FC (TFC), Hazrul Hanafi pula berkata, tindakan
pengadil yang melayangkan lima kad merah kelmarin telah merosakkan mutu
permainan kedua-dua pasukan.
“Semua tahu Kelantan dan Terengganu merupakan dua pasukan terbaik di
negara ini dan ekoran daripada tindakan pengadilan yang lemah, maka
permainan yang sepatutnya menjadi baik telah bertukar seperti medan
peperangan,” katanya.
SUMBER : KOSMO ONLINE : SUKAN ( LINK )
No comments:
Post a Comment