SEPANG – Mynewshub.my telah berada di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) seawal jam 3.00 pagi tadi bagi menunggu kepulangan Skuad Harimau Muda yang berjaya mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Jakarta, semalam.
Setibanya di lapangan terbang berkenaan, dianggarkan lebih seribu penyokong dan peminat bola sepak tanahair sudah berkumpul di situ bagi meraikan wira-wira muda yang berjaya memalukan Skuad Garuda dua kali di tempat sendiri.
Sorakan dan nyanyian semangat tidak putus-putus dinyanyikan, diiringi paluan gendang yang menunjukkan kebanggaan yang tidak terkata sambil menunggu kepulangan anak-anak muda yang bakal menentukan masa depan sukan bola sepak negara.
Bagaimanapun, kami terpaksa menunggu sehingga jam 8 pagi ini untuk bertemu dengan mereka yang tiba dengan wajah ceria meskipun keletihan setelah berjuang bermati-matian demi memartabatkan nama Malaysia sebagai antara pasukan bola sepak yang perlu digeruni pasukan lawan.
Diketuai oleh Pengurus pasukan Harimau Muda, Datuk Hamidin Mohd Amin, yang diiringi jurulatih pasukan, Ong Kim Swee, mereka melangkah keluar dari balai ketibaan LCCT dengan disambut sorakan dan jeritan kegembiraan ribuan penyokong yang menanti lebih enam jam di situ.
Hamidin menjelaskan bahawa kepulangan mereka agak lewat dari waktu yang dijadualkan ekoran terpaksa menaiki ‘barracuda’ untuk kembali ke hotel penginapan sebelum bergegas ke lapangan terbang untuk kembali ke tanahair.
Sumber : Mynewhub.
No comments:
Post a Comment