KATA orang, menang emas bagi acara bola sepak adalah jauh lebih bermakna berbanding muncul juara keseluruhan pada temasya Sukan SEA.
Justeru, ia memang satu cabaran yang cukup besar buat pengendali skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan, Ong Kim Swee pada temasya Sukan SEA 2011.
Tambahan pula, turun selaku juara bertahan selepas jurulatih skuad Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal berjaya menamatkan kemarau selama dua dekad di Vientiane, Laos dua tahun lalu.
Petang ini, Harimau Muda bakal melayan cabaran Singapura bagi aksi pembuka tirai Kumpulan A di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pukul 4 petang (5 petang waktu Malaysia), sekali gus menjadi penentu sejauh mana kemampuan skuad Kim Swee pada temasya kali ini.
Tiga mata berharga perlu diraih bagi mengelak skuad negara terpaksa menempuh ranjau penuh berliku pada aksi seterusnya kerana tuan rumah, Indonesia dijangka tidak berdepan masalah untuk menewaskan cabaran Kemboja dalam satu lagi aksi Kumpulan A pukul 7 malam waktu tempatan (8 malam waktu Malaysia).
Begitupun, jika tewas atau seri, Harimau Muda sepatutnya tidak 'mengibarkan bendera putih' terlalu awal kerana skuad Rajagobal juga kembali bangkit selepas bergelut di peringkat kumpulan sebelum muncul juara.
Duka yang diratapi 'abang' mereka, Harimau Malaya yang ditunjukkan jalan keluar oleh Singapura dengan agregat 4-6 pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2014, Julai lalu juga harus ditebus oleh anak buah Kim Swee.
Ketika itu, jutaan peminat fanatik bola sepak tempatan masih belum dapat melupakan enam gol memilukan hasil jaringan Alexandar Duric (dua gol), Qiu Li, Mustafic Fahrudin, Shahril Ishak dan Shi Jia Yi.
Apa yang pasti, Harimau Muda harus berwaspada dengan 1,001 helah yang bakal direncanakan pengendali Singapura, Slobodan Pavkovic yang diperkuatkan dengan kehadiran tiga pemain kebangsaan, Izwan Mahbud, Shahdan Sulaiman dan Afiq Yunos.
Sang Singa turut menerima khabar gembira selepas kaptennya, Hariss Harun dan dua lagi rakan sepasukan, Safuwan Baharudin serta Khairul Nizam Kamal turut diberikan pelepasan pada program Khidmat Negara yang diwajibkan Singapura sebelum ini.
"Saya harap, para pemain matang sama ada di dalam mahupun di luar padang. Dalam pada masa sama, kami masih menghormati pasukan Singapura yang dilihat antara pasukan terkuat dalam kumpulan walaupun kami memegang status selaku juara bertahan," kata Kim Swee kepada Kosmo!.
IMBAS kembali... Para pemain negara meraikan kejayaan memenangi pingat emas pada temasya Sukan SEA 2009 Laos. |
Selain Singapura, Indonesia dan Kemboja, turut bersama Malaysia di dalam kumpulan maut itu pada temasya kali ini ialah gergasi Asia Tenggara, Thailand.
Atas kertas, keupayaan Malaysia dan Singapura dilihat seimbang dan pertemuan petang ini pasti menjanjikan satu aksi yang menarik.
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu ialah pada satu perlawanan persahabatan awal tahun ini apabila Singapura yang sekadar dibarisi pemain skuad Olimpik tewas 0-2 kepada Malaysia.
Kedua-dua pasukan tidak bertemu di Vientiane, Laos dua tahun lalu apabila diundi dalam dua kumpulan berbeza, selain impian kedua-dua pasukan untuk membuat perhitungan di final ketika itu juga tidak kesampaian lantaran Singapura ditunjukkan jalan keluar oleh Vietnam 1-4 pada aksi separuh akhir.
Sementara pada temasya di Korat pada 2007, impian skuad kebangsaan untuk mara ke separuh akhir juga dinafikan oleh Singapura apabila sekadar seri 1-1 dalam aksi terakhir Kumpulan B.
Gol Malaysia diperoleh menerusi jaringan Amirul Hadi Zainal pada minit ke-71 manakala gol penyamaan Singapura hasil jaringan Agu Casmir sembilan minit kemudian.
Malaysia yang memerlukan kemenangan apabila tewas 1-3 kepada Vietnam dan menang 4-0 ke atas Laos sebelum itu, terpaksa akur dengan kehebatan Singapura yang menempah slot ke separuh akhir dengan kelebihan satu mata.
Pencapaian Harimau Malaya bagi aksi di Manila, Filipina pada 2005 pula terbukti lebih hebat apabila menempah slot separuh akhir sebelum dikecewakan 1-2 oleh Vietnam berbanding Singapura yang terkandas di peringkat kumpulan.
Mengimbau semula perjalanan skuad Harimau Muda pada temasya di Laos dua tahun lalu, Harimau Muda yang menang besar 11-0 ke atas Timor-Leste pada aksi pembuka tirai terpaksa akur dengan kekalahan 1-3 kepada Vietnam dalam satu aksi berat sebelah ekoran beberapa keputusan kontroversi pengadil dari Korea Selatan, Kim Jong Hyeok.
Selepas kembali bangkit mencatat kemenangan 4-0 dan 2-1 ke atas Kemboja serta Thailand di peringkat kumpulan, Malaysia berjaya menewaskan Laos 3-1 di separuh akhir ketika perlawanan masih berbaki 10 minit.
Selepas itu, Malaysia menjinakkan Vietnam 1-0 di final apabila pemainnya, Mai Xuan Hop menjaringkan gol sendiri ketika cuba mengeluarkan bola hasil percubaan Safiq Rahim.
Sumber l Kosmo Online l 07 November 2011
Sumber l Kosmo Online l 07 November 2011
No comments:
Post a Comment