Thursday, November 17, 2011

PEDULIKAN MAINAN PSIKOLOGI INDONESIA




JAKARTA - Ong Kim Swee tidak mengendahkan apa jua percaturan Indonesia yang dikatakan akan menurunkan skuad keduanya pada aksi penutup saingan bola sepak Kumpulan A di sini, hari ini.


Menurut jurulatih skuad Harimau Muda itu, beliau tidak kisah sama ada skuad No. 1 atau No. 2 Indonesia yang bakal ditentang hari ini kerana meraih mata menjadi keutamaannya.

"Saya tidak memikirkan persediaan Indonesia, juga siapa yang akan mereka turunkan pada perlawanan esok (hari).
"Saya hanya memberi tumpuan kepada persediaan pasukan sendiri. Apa juga taktik Indonesia untuk perlawanan esok, saya tidak hiraukan.

"Adalah perkara biasa mereka merehatkan pemain tonggak kerana mereka sudah layak ke separuh akhir," katanya
Malaysia, yang mengumpul tujuh mata di tangga kedua Kumpulan A, hanya memerlukan satu mata daripada pertembungan hari ini, untuk menafikan cabaran Singapura dalam perebutan ke separuh akhir.

Singapura, yang berada pada tangga ketiga kumpulan dengan empat mata, perlu menang ke atas Thailand jika mahu terus memberi cabaran kepada Malaysia, juga pada perlawanan hari ini.

Sementara itu, Kim Swee berharap lima pemain dari skuad yang menjulang Piala Suzuki AFF tahun lalu dapat membimbing pemain muda menyerap tekanan akibat sorakan dan ejekan penyokong tuan rumah.

Di venue yang sama, Stadium Bung Karno, skuad senior bimbingan Datuk K. Rajagobal mengecewakan penyokong Indonesia pada perlawanan akhir Piala Suzuki AFF tahun lalu.

Hari ini, kedua-dua pasukan akan bertembung lagi dan walaupun ia hanya melibatkan perlawanan skuad Bawah 23, Indonesia tetap mahu membalas dendam kekalahan skuad utama mereka.

Menyedari tekanan yang bakal dihadapi skuadnya, Kim Swee menagih lima pemain yang pernah melalui 'gelora' sorakan penyokong Indonesia ketika perlawanan akhir Piala Suzuki AFF.

Mereka ialah Mahalli Jasuli, Mohamad Muslim Ahmad, Mohamad Fadhli Shas, Asrarudin Putra Omar dan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Kim Swee berkata, faktor penyokong Indonesia tidak seharusnya dipandang remah kerana ia mampu menjejaskan fokus pemain apatah lagi di kalangan pemain muda.

"Perkara ini (ejekan provokasi penyokong Indonesia) sentiasa saya ingatkan kepada kepada pemain. Walaupun pemain muda sedar akan perkara ini, mereka mungkin hilang pertimbangan jika perlawanan menjadi tegang.
"Jadi dalam hal ini, saya harap lima pemain yang pernah berdepan situasi di Stadium Gelora Bung Karno dapat mengawal emosi pemain muda," katanya. - Utusan





No comments: