Saturday, November 12, 2011

IZZAQ MILIKI KAWALAN BAIK - DOLLAH SALLEH



Sukan SEA Indonesia 2011



“IZZAQ perlu diturunkan dalam kesebelasan utama selepas ini. Itu reaksi bekas pemain kebangsaan, Dollah Salleh selepas menyaksikan anak kelahiran Terengganu itu menjaringkan gol kemenangan Malaysia ketika menewaskan Thailand 2-1 pada aksi kedua acara bola sepak Kumpulan A, Sukan SEA Indonesia 2011, kel­marin.

Menurut Dollah, Izzaq yang mempunyai ketinggian 1.86 meter mampu mengendalikan serangan dengan baik serta mempunyai kelebihan fizikal yang mantap.

“Izzaq pemain berkualiti. Mungkin ada yang mengkritik penampilan pertamanya ketika menentang Singapura.

“Tapi lihat saja cara dia mengawal bola dan menjaringkan gol kemena­ngan Malaysia. Itu adalah teknik yang baik,” katanya yang pernah memenangi pingat emas acara bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 1989.

Izzaq yang sebelum ini dilaporkan mengalami keracunan makanan, muncul sebagai penyelamat apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-85, selepas menerima hantaran ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar.

Terdahulu, Baddrol meletakkan Malaysia dihadapan pada minit ke-24 sebelum Thailand menyamakan kedudukan pada pertengahan babak kedua.

Dalam pada itu, Dollah berpendapat gandingan Fadhli Shas dan Muslim Ahmad di benteng pertahanan perlu dikekalkan kerana berjaya menyukarkan pihak lawan menembusi gawang yang dikawal Khairul Fahmi Che Mat.
“Tidak mustahil kita mampu mempertahankan pingat emas yang dimenangi dua tahun lalu, jika kita kekalkan corak permainan ketika mengalahkan Thailand.

“Bagaimanapun, pemain negara perlu fokus serta tidak mensia-siakan peluang menjaringkan gol,” katanya.

Sumber l SinarHarian


No comments: