Sunday, November 27, 2011
KECEDERAAN PEMAIN TONGGAK, ONG KIM SWEE PERTARUH BARISAN PERTAHANAN KEKANG BAHRAIN
PETALING JAYA - Berdepan masalah kecederaan pemain utama serta hakikat "mesti menang", ketua jurulatih skuad olimpik negara Ong Kim Swee mempertaruhkan harapan kepada barisan pertahanan untuk mengekang Bahrain esok.
Mengakui berdepan tugas getir, Kim Swee berkata peluang Harimau Muda beraksi di Sukan Olimpik London 2012 tetap ada, sekalipun buat masa ini gagal meraih sebarang mata pada peringkat kelayakan.
"Jika Syria tewas kepada Jepun (esok) dan kita pula menang ke atas Bahrain, peluang untuk merebut tempat kedua kumpulan masih terbuka. Jadi pertemuan dengan Bahrain ini adalah di antara hidup atau mati," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Malaysia sebelum ini tewas kepada Jepun dan Syria.
Beliau yang ditemui pemberita selepas mesyuarat pengurus pasukan sempena perlawanan kelayakan Olimpik di antara Malaysia dan Bahrain, juga optimis rentak permainan pantas oleh Bahrain dapat dikekang barisan pertahanan skuad negara.
"Kami optimis dan yakin boleh mengawal pergerakan lawan melalui benteng terakhir pertahanan negara yang akan diketuai oleh penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat serta barisan pertahanan yang akan diumumkan kelak," katanya.
"Kemungkinan besar saya tidak dapat menurunkan tonggak pertahanan, Mohd Muslim Ahmad yang mengalami kecederaan hamstring ketika skuad negara tewas 0-2 kepada Syria.
"...peluang Mohd Irfan Fazail dan Syahrul Azwari Ibrahim masih samar kerana mereka belum cergas sepenuhnya dan hanya menjalani latihan ringan semalam," katanya.
Sementara itu, jurulatih Bahrain, Salman Sharida berkata mereka berhasrat membawa pulang tiga mata berharga.
"Saya tahu pasukan bola sepak Malaysia sekarang berada dalam kedudukan terbaik selepas mempertahankan pingat emas pada Sukan SEA menentang Indonesia, namun segalanya mungkin," katanya.
Beliau juga berkata anak buahnya berada dalam keadaan baik untuk memenangi perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok. - Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment