JAKARTA, 8 Nov (Bernama) -- Penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat
mengajak rakan sepasukan bangkit menggegarkan Thailand di Stadium
Gelora Bung Karno di sini bagi mencari kemenangan pertama.
Meskipun Malaysia sekadar meraih satu mata ketika menentang Singapura
semalam apabila seri tanpa jaringan pada perlawanan pembukaan bola sepak
di temasya Sukan SEA ke-26, Khairul Fahmi, yang dikenali sebagai Apek
di kalangan rakannya, yakin peluang masih terbuka buat skuad negara.
Beliau tidak rela melihat Malaysia menjadi pasukan pertama daripada
Kumpulan A yang pulang awal, biarpun tugas getir menanti skuad kendalian
Ong Kim Swee itu.
"Kita tahu Thailand banyak melahirkan pemain yang berkualiti dan turut
berkelebihan dari segi taktikal permainannya. Bagaimanapun, itu bukanlah
masalah buat kita, kerana kami telah bersedia.
"Malah perlawanan semalam diharap dapat diperbaiki mutunya bagi meraih
tiga mata," katanya kepada Bernama selepas sesi ramah mesra bersama
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di hotel
penginapan kontinjen skuad bola sepak negara malam ini.
Turut hadir Ketua Kontinjen Sukan SEA Jakarta Datuk Naim Mohamad, Ketua
Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong dan Setiausaha
Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad.
"Saya akui kita ada kurang 48 jam masa berehat berbanding Thailand, ini
merupakan perlawanan pertama mereka, namun kita perlu optimis dan ambil
positif beraksi awal (semalam) mampu memperbaiki rentak permainan," kata
pemain berusia 22 tahun itu.
Sementara itu, Kim Swee berkata beliau akan memperbaiki bahagian tengah skuad negara bagi mencari kemenangan pertama.
"Oleh sebab itulah saya mahu perbaiki kekurangan di bahagian tengah
kerana saya percaya akan kemampuan Thailand, yang pastinya akan mencari
kelemahan kita untuk formula menggempur gawang negara kita," katanya.
Malaysia akan bertemu Thailand pukul 4 petang waktu tempatan Rabu.
Selepas Thailand, Malaysia akan bertemu Cambodia dan pasukan tuan rumah pada 14 Nov dan 17 Nov.
NotaKaki : Apek buktikan pada dunia akan kehebatanmu.
No comments:
Post a Comment